JAUHI 7 DOSA BESAR
Rasulullah s.a.w. bersabda “Jauhilah diri kamu daripada
tujuh dosa yang boleh membinasakan. Baginda ditanya:”Apakah dosa itu wahai
Rasulullah?” Baginda berkata:” Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang
diharamkan oleh Allah Subhanahuwata’ala melainkan dengan jalan yang benar,
memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan
menuduh perempuan yang suci melakukan zina.” (Muslim)
Terdapat tujuh dosa besar yang boleh membawa kebinasaan
terhadap sesiapa yang melakukannya iaitu:
1. Syirik kepada Allah Subhanahuwata’ala – iaitu menyamakan
atau memperkongsikan Allah Subhanahuwata’ala dengan sesuatu yang lain seperti
berhala, dewa, jin dengan menggangap bahawa sesuatu yang lain juga mempunyai
kuasa.
2. Sihir. Mengamalkan atau mempraktikkan ilmu sihir ke atas
orang lain.
3. Membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah
Subhanahuwata’ala (orang yang tidak bersalah), melainkan dengan jalan yang
benar seperti untuk mempertahankan diri atau; menegakkan hukum Allah
Subhanahuwata’ala (menjalankan hukuman
qisas iaitu “bunuh balik” dan menjalankan hukuman bunuh ke atas mereka yang
murtad setelah diberi peluang bertaubat)
4. Memakan harta anak yatim.
An-Nisaa [10] : Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta
anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke
dalam perut mereka, dan mereka pula akan masuk ke dalam api Neraka yang
menyala-nyala.
5. Memakan riba.
Ali-Imran [130] : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah
kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda dan hendaklah kamu
bertakwa kepada Allah Subhanahuwata’ala supaya kamu berjaya.
6. Lari dari medan pertempuran.
Dosa besar bagi mereka yang lari dari peperangan kerana
takut, tetapi tidak berdosa bagi mereka yang lari, kerana ia adalah sebahagian
taktik peperangan dan bagi mereka yang mencari perlindungan sebelum meneruskan
peperangan.
7.Menuduh perempuan yang suci melakukan zina.
Berdosa besar bagi tuduhan berzina terhadap perempuan yang
suci. Isteri Baginda Mulia iaitu Aisyah
r.a. juga pernah dituduh berzina dan akhirnya turun firman Allah
Subhanahuwata’ala membela dan memberitahu kesucian beliau.