Permasalahan dalam pengajaran dan
pembelajaran PJ di sekolah
Akauntabiliti
akademik dalam pendidikan jasmani
Kebanyakan golongan pendidik memberi
persepsi yang negatif terhadap subjek pendidikan jasmani. Kebanyakan pendidik
mengangap pendidikan jasmani sebagai subjek main-main dan hanya berbentuk
ko-kurikulum yang tidak berbentuk akademik. Maka pendidikan jasmani tidak
diajar dengan betul sebagaimana yang dibincangkan dalam teori menyebabkan
kualiti pengajaran dan pembelajaran bagi subjek ini tidak mencapai objektifnya.
Lebih malang ada sesetengah sekolah
tidak melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran subjek pendidikan jasmani
kerana beranggapan subjek ini tidak bersifat akademik dan tidak penting dalam
peperiksaan. Maka pihak pengurusan sekolah tidak mengambil berat terhadap
pelaksanaan subjek pendidikan jasmani di sekolah dan menganggap semua guru
mampu mengajarnya.
Apabila guru yang tidak berkemahiran
dalam subjek pendidikan jasmani mengajar pendidikan jasmani di sekolah, kesan
yang buruk akan terhasil. Sebagai contoh ialah kegagalan pencapaian matlamat
dalam pendidikan jasmani di sekolah iaitu pertumbuhan otot-saraf, pertumbuhan
organan, pertumbuhan sosial dan emosi dan meningkatkan pengamatan dan
persefahaman dikalangan pelajar.
Oleh itu bagi mengatasi masalah ini,
jurang akauntabiliti akademik subjek pendidikan jasmani dengan subjek-subjek
akademik lain mesti dikurangkan. Diantara strategi untuk meningkatkan
akauntabiliti akademik subjek pendidikan jasmani ialah mesti melaksanakan
proses pengajaran dan pendidikan yang betul oleh guru yang berkelayakan.
Subjek pendidikan jasmani juga perlu
mempunyai proses penilaian yang berterusan dari semua aspek melalui peperiksaan
dan kad kemajuan pelajar bagi mendapatkan keputusan yang baik. Semua pihak
harus mengiktiraf subjek pendidikan jasmani ini sebagai subjek yang mempunyai
akauntabiliti akademik sebagaimana subjek-subjek lain di sekolah yang mempunyai
matlamat dan objektif tersendiri. Akhirnya guru pendidikan jasmani perlulah
meningkatkan kemahiran dari semasa ke semasa untuk melaksanakan proses
pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani dengan betul dan tepat.
Pengujian,
pengukuran dan penilaian pendidikan jasmani
Selain melaksanakan proses pengajaran
dan pembelajaran dalam pendidikan jasmani, guru pendidikan jasmani juga perlu
melaksanakan proses pengujian, pengukuran dan penilaian subjek pendidikan
jasmani. Ianya sangat penting untuk memberi maklum balas terhadap pembelajaran
pendidikan jasmani bagi membangunkan akauntabiliti akademik pendidikan jasmani.
Diantara kepentingan penilaian ialah dapat memotivasikan pelajar untuk terus
belajar. Menurut Veal (1991), bagi memotivasikan pelajar belajar, guru mestilah
menghargai nilai aktiviti tersebut dan memastikan pelajar dapat mencapai dan
mampu berjaya jika mereka mencurahkan usaha yang setimpal.
Sebagai tenaga pengajar, guru
Pendidikan Jasmani dan Sains Sukan perlu memiliki kemahiran dan pengetahuan
serta memahami prosedur untuk melakukan sesuatu pengujian, pengukuran dan
penilaian. Pengujian, pengukuran dan penilaian ini adalah merupakan cara untuk
mengesan sama ada matlamat dan objektif telah tercapai atau tidak. Hasil
daripada maklumat ini dapat membentuk proses pengajaran dan pembelajaran yang
lebih baik.
Masalah perbezaan penggredan berlaku
dalam Pendidikan Jasmani yang mana pengukuran tidak dapat mewujudkan
penghasilan kebolehan prestasi sebenar pelajar. Penggredan seharusnya melihat
kepada kemampuan dalam melakukan kemahiran yang dilatih. Oleh itu, pelajar
harus diberi peluang untuk menyertai pelbagai jenis aktiviti fizikal serta masa
yang mencukupi untuk berlatih kemahiran, seterusnya mencapai gred yang lebih
baik.
Penekanan betapa pentingnya hubungan
antara penilaian dan pengajaran dan ketepatan sesuatu penilaian yang dibuat
akan memberi kesan yang besar terhadap pengalaman pengajaran yang dialami
pelajar.
Tujuan asal pengajaran adalah untuk
membantu dan menolong para pelajar memperolehi pelajaran yang diinginkan dari
segi domain kognitif, afektif dan psikomotor dan untuk mencapai matlamat
penilaian ianya hendaklah dilakukan dengan sistematik bagi mengangarkan sejauh
mana objektif intruksional yang dicapai oleh para pelajar.
Tumpuan terhadap akauntabiliti yang
semakin meningkat telah membentuk suatu
keperluan untuk pengukuran dan penilaian. Keperluan ini telah dirasa pada
setiap tahap di segenap penjuru pendidikan dan Pendidikan Jasmani juga tidak
terkecuali.
Setiap guru perlulah bijak menguji
kemahiran yang dikehendaki kerana guru merupakan penguji yang layak kerana
mereka tahu tentang prestasi pelajarnya berbanding penguji luar atau ujian yang
serupa. Masalah utama yang dihadapi oleh guru pendidikan jasmani ialah untuk
membuat pemarkahan (grading) terhadap pendidikan jasmani kerana tiada prosedur
dan kaedah yang jelas untuk melaksanakannya.
Pendidik pendidikan jasmani dapat
menguji kemampuan motivasi pelajar dalam penggredan dengan kaedah berikut:
1) Menggunakan penilaian rujukan
criteria berdasarkan pencapaian dan objektif yang jelas seperti yang dinyatakan
dalam buku rujukan pendidikan jasmani
2) Elakkan penilaian rujukan norma
walaupun ia dapat membantu guru menilai kemampuan murid, ia selalu di salah
gunakan. Ia boleh melemahkan pelajar yang lembab dan menjadikan sukan untuk
menentukan samada murid telah menguasai kemahiran asas.
3) Elakkan penggredan lulus–gagal atau
kredit dan tidak kredit. Sistem ini kadangkala menyebabkan pencapaian yang
rendah dan kehendak untuk melakukan yang terbaik tidak sama berbanding
pelajaran lain. Ia juga menggalakkan sikap yang negatif terhadap pendidikan
jasmani.
Terdapat beberapa perinsip yang perlu
dipatuhi dalam penggredan. Diantaranya ialah gred yang diberikan mestilah
berkait terus dengan objektif pengajaran dan pembelajaran, mempunyai kesahan,
kebolehpercayaan dan objektiviti yang tinggi. Kaedah pemberatan perlulah
digunakan bagi setiap unit pengajaran agar tumpuan dapat diberikan dengan
tepat. Kaedah penggredan juga perlulah mudah ditadbir dan mudah difahami oleh
semua pihak termasuklah guru, pelajar dan keluarga pelajar. Seterusnya gred
yang diberikan harus dapat membezakan pencapaian pelajar yang baik dan lemah.
Walaupun penyelidik kajian lampau
berjaya menghasilkan bateri ujian kecergasan motor, tetapi hasil kajian mereka
masih kurang digunakan oleh guru Pendidikan Jasmani bagi mengukur kecergasan
motor pelajar. Adalah terlalu sukar bagi guru Pendidikan Jasmani untuk
menggunakan bateri ujian tersebut. Ini terutamanya kerana kebanyakan ujian yang
terdapat dalam bateri ujian tersebut tidak dinyatakan prosedur ujian yang
lengkap dan piawai.
Kandungan Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Buku Panduan Guru Pendidikan
Jasmani hanya menyatakan jenis ujian kecergasan motor yang mesti dijalankan
tetapi tidak menyediakan prosedur menjalankan ujian. Tanpa prosedur ujian yang
piawai, guru Pendidikan Jasmani tidak dapat menjalankan ujian dengan berkesan.
Keseluruhannya, penilaian yang
berkaitan dengan prestasi kecergasan motor pelajar dapat dijalankan dengan
lebih berkesan setelah guru Pendidikan Jasmani memahami tujuan sebenar
pengujian dan pengukuran ujian kecergasan motor. Guru Pendidikan Jasmani juga
perlu benar‑benar
mengetahui semua perinsip‑prinsip
pengujian dan pengukuran sebelum menjalankan ujian kecergasan motor. Kegagalan
guru menguasai prosedur menjalankan ujian kecergasan motor akan menjejaskan kesahan
dan kebolehpercayaan ujian. Kesan daripada kegagalan menggunakan prosedur ujian
yang tepat menyebabkan data yang diperoleh adalah meragukan. Sebarang bentuk
penilaian yang dibuat oleh guru berdasarkan keputusan ujian yang meragukan akan
menjejaskan prestasi kecergasan motor pelajar.
Setiap perubahan perlu dalam konteks
meningkatkan prestasi pelajar dalam sukan supaya bakatnya itu dapat di gilap
bagi menentukan hala tujunya dalam bidang sukan. Sekiranya tiada pembaharuan
dalam pengukuran penilaian prestasi pelajar, hala tuju Malaysia sebagai sebuah
negara untuk melahirkan bakat-bakat dalam arena sukan mungkin tidak kesampaian.
Oleh itu perlulah di perbaiki dari peringkat bawahan terutama di sekolah dalam
memberikan pengukuran yang bermakna dalam mengenal pasti pelajar-pelajar yang
berbakat dalam pendidikan jasmani khususnya dan sukan secara amnya. Sekiranya
perkara ini dititikberatkan nescaya prestasi sukan di negara ini dapat
ditingkatkan sebaik mungkin.
Menurut Larry (1990), ruang antara
teori dan praktis seharusnya dikurangkan dengan memberi penumpuan utama
terhadap teknik yang mudah, efesyen dan boleh digunakan secara meluas dan
ramai, tapi mengekalkan tahap kebolehpercayaan, kesahan dan keobjektifan yang
boleh diterima.
Sesungguhnya secara jelas, yang cara
pengajaran serta penilaian yang sistematik amat diperlukan khususnya dalam
konteks Pendidikan Jasmani di Malaysia. Apa yang berlaku kini, pengukuran dan
penilaian kurang diberi keutamaan di kalangan guru Pendidikan Jasmani. Salah
satu sebab utamanya adalah dikaitkan dengan masalah masa pengurusan. Contohnya,
Pendidikan Jasmani hanya dijalankan selama 50 minit seminggu. Ini mendatangkan
masalah kepada guru untuk merekod, menganalisis dan melaporkan keputusan ujian
dengan sistematik dan berkesan. Disamping itu juga guru-guru kekurangan
pengetahuan tentang cara dan teknik penilaian yang sistematik.
Kini, menjadi tanggungjawab
Kementerian dan Jabatan Pendidikan untuk memastikan perlaksanaan penilaian
dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani Dan Kesihatan/Sains Sukan
secara sistematik dapat dilakukan oleh guru-guru di sekolah.
Bahaya
dalam pendidikan jasmani
Sebagaimana yang diketahui, pendidikan
jasmani melibatkan aktiviti fizikal dikalangan pelajar dan lebih berisiko
berlakunya kecederaan jika guru gagal untuk mengambil langkah keselamatan yang
dipertanggungjawabkan ke atasnya. Kefahaman berkenaan keselamatan dalam
pendidikan jasmani amat penting bagi mencegah berlakunya kecederaan terhadap
murid melalui cara pengajaran atau latihan yang lebih baik (Wee Eng Hoe, 1994:
m.s. 89). Ia juga dapat melindungi pihak sekolah daripada tindakan
undang-undang yang tidak perlu akibat kecederaan yang ringan.
Pengawasan yang cekap merupakan
tanggungjawab setiap guru pendiidkan jamani. Mereka bukan sahaja dijangka cekap
dalam setiap aktiviti yang dikendalikannya, malah mereka diharap berkeupayaan
untuk mengawasi murid dalam tempoh pengajaran dan pembelajaran.
Setiap guru pendidikan jasmani
seharusnya mempunyai panduan am yang boleh dilaksanakan bagi mengurangkan
risiko berlakunya kemalangan. Kecederaan semasa proses pengajaran dan
pembelajaran pendidikan jasmani sering berlaku disebabkan guru tidak mempunyai
pengetahuan yang mendalam mengenai aktiviti yang dijalankan ditambah pula
kegagalan merancang pengajaran dan latihan dengan berhati-hati. Oleh itu guru
seharusnya menetapkan dan menerangkan peraturan keselamatan untuk kemudahan
pendidikan jasmani kepada pelajar sebelum melakukan akitiviti. Guru juga
seharusnya mempunyai rancangan pengajaran atau program latihan yang teliti
meliputi:
1)
Menolong pelajar peka terhadap kemalangan yang mungkin berlaku,
2)
Perancangan dan pengetahuan tentang bahan yang diajar,
3)
Pengetahuan tentang tahap kebolehan pelajar atau pelatih.
Semasa mengajar, guru juga seharusnya
tidak meninggalkan kelas atau tempat aktiviti dijalankan tanpa pengawasan
disebabkan masalah peribadi seperti ingin mendengar telefon, menjaga anak di
tepi gelanggang atau bercakap dengan orang lain. Guru pendidikan jasmani
mestilah memakai pakaian yang sesuai dan sentiasa bersama pelajar semasa
aktiviti fizikal berjalan.
Terdapat sebahagian guru yang mengajar
pendidikan jasmani tidak memakai pakaian yang sesuai dan hanya membiarkan
pelajar bermain dipadang tanpa pengawasan yang rapi. Pelajar yang berada di
bawah pengawasan guru pendidikan jasmani seharusnya sentiasa boleh dilihat agar
dapat diawasi. Guru juga tidak boleh membiarkan pelajar menggunakan kemudahan
pendidikan jasmani tanpa pengawasan guru pendidikan jasmani. Seperti contoh
ialah penggunaan bilik kecergasan atau gimnasium seharusnya ada seorang penjaga
yang dapat mengawasi perjalanan aktiviti pelajar. Dalam keadaan yang tiada
pengawasan, tempat-tempat sebegitu seharusnya dikunci.
Namun terdapat pentadbir sekolah yang
meletakkan guru tidak berkelayakan dan berkebolehan untuk mengendalikan kelas
pendidikan jasmani. Ini telah meningkatkan lagi risiko berlakunya kecederaan
akibat kekurangan pengetahuan dan kefahaman guru tersebut untuk mengendalikan
kelas pendiidkan jasmani. Oleh itu, guru yang ditugaskan untuk mengajar
pendidikan jasmani tetapi kurang berbolehan seharusnya memberitahu pihak
pentadbir tentang tahap kebolehannya. Guru pendidikan jasmani seharusnya
mengambil langkah-langkah tertentu untuk mempertingkatkan kebolehan diri kerana
guru tidak seharusnya mengajar aktiviti tanpa pengetahuan yang mencukupi.
Langkah-langkah keselamatan perlu
diambil bagi mencegah kemalangan semasa sesi pendidikan jasmani. Bagi aktiviti
yang melibatkan penggunaan alatan sukan, guru harus memastikan peralatan sukan
yang digunakan adalah sentiasa selamat. Alat-alat pencegah kemalangan mesti
diwajibkan kepada pelajar seperti pelindung muka untuk penjaga gol hoki dan
mesti sentiasa dalam keadaan yang baik. Pelajar diwajibkan untuk memakai
pelindung dalam apa-apa keadaan sekali pun. Sebagai contoh yang lain ialah
pelajar mesti memakai shin-guard dalam hoki dan penjaga lutut dalm bola tampar.
Bagi aktiviti tertentu, pelajar
tidak dibenarkan melakukannya secara bersendirian dan perlu kepada pembantu
atau penyokong. Seperti aktiviti gimnastik dalam pendidikan jasmani dan
aktiviti angkat berat atau latihan beban mesti menggunakan penyokong untuk
membantu pelajar melakukan aktiviti. Guru boleh mengajar palajar cara menyokong
dan setiap pelajar mesti diajar untuk berbuat demikian. Jika perlindungan atau
langkah keselamatan gagal disediakan, aktiviti perlulah diubahsuai mengikut
kreativiti guru agar lebih selamat.
Bagi setiap pengajaran dan
pembelajaran pendidikan jasmani, guru harus bijak memilih aktiviti kepada
pelajar. Risiko kecederaan dalam pendidikan jasmani akan meningkat jika guru
gagal memilih aktviti yang sesuai dengan pelajar berdasarkan umur, saiz dan
tahap keupayaan atau kemahiran pelajar. Aktiviti mestilah dirancang dengan rapi
dan mengikut perinsip-perinsip ansur maju. Arahan yang diberi mestilah jelas
terutamanya bagi aktiviti yang baru diperkenalkan untuk mengelakkan kesilapan
yang mungkin mendatangkan kecederaan. Guru mesti memastikan semua pelajar
memahami dengan jelas setiap arahan yang diberikan sebelum memulakan aktiviti
fizikal.
Aktiviti ysng dipilih mestilah
sejajar dengan kebolehan pelajar. Pemilihan aktiviti yang sesuai amat penting
untuk mengekalkan motivasi pelajar untuk belajar dan memastikan objektif
pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani tercapai. Guru tidak boleh
memaksa pelajar melakukan aktiviti diluar kemampuan atau keinginan pelajar
tersebut seperti pelajar dengan kaki yang sakit tidak boleh dipaksa untuk
melompat.
Aktiviti yang dipilih mestilah
mengambil kira perbezaan kebolehan pelajar dan menyediakan program yang
berperingkat demi mementingkan ciri-ciri individualistik pelajar. Pelajar yang
berkebolehan rendah mestilah melakukan aktiviti yang mengikut tahap
kebolehannya.
Dougherty (1981) melaporkan bahawa
kecederaan yang melibatkan aktiviti sukan berbentuk sentuhan mencapai tahap 50%
dan aktiviti sukan tanpa sentuhan sebanyak 10% daripada jumlah kos kecederaan
yang telah dilaporkan secara rasmi. Dalam usaha mengurangkan kecederaan,
langkah pencegahan seharusnya diwujudkan dalam program pendidikan jasmani.
Menurut Gray (1991), proses
pengurusan bahaya dilaksanakan mengikut langkah-langkah berikut:
1) Mengenal pasti bahaya yang berkaitan
dengan sukan dan aktiviti fizikal.
2) Menilai bahaya untuk menentukan
kebarangkalian berlakunya dan ketenatannya jika bahaya berlaku.
3) Memilih kaedah yang sesuai untuk
menguruskan setiap bahaya termasuk pengankutan, pengelakan, pengurangan dan
pengekalan.
4) Melaksanakan prosedur pentadbiran yang
sesuai untuk menggerakkan pelan pengurusan bahaya.
Apabila seseorang pelajar tercedera
semasa aktiviti pendidikan jasmani, adalah penting untuk guru mendokumentasikan
secara terperinci kecederaan yang berlaku itu. Laporan kecederaan itu akan
menjadi rujukan doktor dan mahkamah jika kes itu menjadi kes mahkamah. Ia juga
menolong kita mengenalpastikan dan menghapuskan faktor-faktor yang menyebabkan
kecederaan tetapi boleh dicegah.
Dalam kes serius yang memerlukan
pelajar dihantar ke hospital, kemudahan ambulan, kenderaan sekolah dan
kenderaan sendiri hendaklah digunakan. Semasa menggerakkan pelajar yang
tercedera, perhatian diberi supaya tidak menambahkan ketenatan pelajar.